Dera amah: Pasangan suami isteri dipenjara 15 tahun
JOHOR BAHRU, RABU, 19 Jun, 2013: Sepasang suami isteri didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagangkan seorang wanita Indonesia yang juga amah mereka antara Julai hingga September tahun lalu.
Mohd. Shukur Suradi, 29, seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali, manakala isterinya, Daeng Norulasyikin Bachok, 28, seorang guru turut dikenakan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22.
Pasangan tersebut turut dipenjara masing-masing 10 tahun bagi pertuduhan kedua iaitu memperdagangkan mangsa, namun Hakim, Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Dalam penghakimannya, Nu'aman berkata, perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain.
"Saya hairan kerana masih ada orang yang tergamak untuk buat perkara begini terhadap manusia lain. Malah, suami sepatutnya menghalang isteri daripada melakukan perbuatan tersebut," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Isa Mohamad Basir.
Bagaimanapun, Nu'aman membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan kes itu difailkan di Mahkamah Tinggi. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment