My Add

Thursday, 27 June 2013

Dividen kedua Felda 17 Julai

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Jun, 2013: Sebanyak 112,635 peneroka Felda di seluruh negara serta pemegang-pemegang saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) akan mula menikmati dividen kedua sebanyak RM60.02 juta mulai 17 Julai ini.

Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad berkata, setiap peneroka Felda akan memperoleh RM550 setelah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV hari ini.

Sebelum ini FGV telah membayar dividen sebanyak RM40.13 juta menjadikan keseluruhan dividen yang dibayar berjumlah RM102.15 juta.

"Pembayaran itu akan mengambil sedikit masa kerana bilangan peneroka kita ramai,'' katanya dalam sidang akhbar selepas AGM pertama FGV selepas disenaraikan di Bursa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

FGV mencatatkan keuntungan selepas ditolak cukai dan zakat berjumlah RM905.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu dengan perolehan sebanyak RM12.89 bilion.

Isa juga berkata, FGV yang memiliki RM3.85 bilion tunai daripada tawaran awam permulaannya (IPO) sedang menilai 12 cadangan pembelian dari sektor perladangan serta perniagaan hiliran.

Pengendali minyak sawit ketiga terbesar dunia itu menjangka mengumumkan pembelian pertamanya tiga bulan akan datang.

Katanya, hasil kasar FGV daripada IPO pada Jun 2012 berjumlah RM4.46 bilion tetapi pada 31 Mac, baki hasil kasar berjumlah RM3.85 bilion.

"Daripada jumlah ini, kami menyasar membelanjakan hampir 60 peratus atau RM2.2 bilion membeli aset perladangan, RM840 juta membeli kilang dan penapis terpilih dan RM780 juta untuk mengembangkan segmen hiliran minyak dan lelemak kami," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment