Dividen kedua tolak tohmahan negatif terhadap FGV
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Pengagihan dividen kedua sebanyak RM60.02 juta kepada peneroka Felda dan pemegang-pemegang saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) merupakan bukti penolakan tohmahan negatif yang dilemparkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, pemberian dividen untuk fasa kedua itu jelas menunjukkan idea penyenaraian FGV adalah bernas dan memberikan memberikan faedah kepada peneroka Felda dan bukan sebaliknya.
"Kejayaan ini sememangnya telah menjawab tohmahan negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadap penyenaraian FGV di bursa saham.
"Sebagai gabungan terbesar yang mewakili peneroka dan anak-anak Felda, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FGV dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menunaikan janji kepada peneroka Felda," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, diberitakan sejumlah 112,635 peneroka Felda di seluruh negara serta pemegang-pemegang saham FGV akan mula menikmati dividen kedua sebanyak RM60.02 juta mulai 17 Julai ini.
Tambahnya, kejayaan itu pasti tidak tercapai jika tidak kerana sokongan padu yang ditunjukkan oleh warga Felda terhadap sebarang program yang dijalankan kerajaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap berkata, hasil daripada perancangan bernas pengurusan Felda di bawah pimpinan Perdana Menteri diharap akan terus memberikan manfaat dan keuntungan kepada peneroka Felda.
"Pengagihan dividen pada Julai ini sebagai bukti bahawa cadangan penyenaraian FGV tahun lepas merupakan idea yang terbaik bagi memberikan pulangan berterusan kepada peneroka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment