Gagal hantar notis, DAP malukan parti sendiri
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kegagalan DAP menghantar notis panggilan kepada ahli yang layak menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-16 parti itu tahun lalu disifatkan sebagai amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
Malah, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, parti pembangkang itu juga telah mengundang imej buruk terhadap pemimpinnya sendiri berikutan kelemahan sistem dalaman parti itu.
Menurut beliau, ini menunjukkan pengurusan parti itu tidak seiring dengan slogan 'Bersih' yang dilaungkan yang seringkali menentang kerajaan serta sistem demokrasi negara.
"Saya minta ROS bertegas dalam hal ini dan DAP perlu mengadakan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) semula kerana ahli yang terpilih sebelum ini tidak layak untuk diiktiraf disebabkan kesilapan itu.
"Jika parti berkenaan tidak mahu bekerjasama, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan selanjutnya supaya DAP tidak besar kepala dalam hal ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, hasil siasatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati ramai ahli DAP yang layak menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-16 parti itu tahun lalu tidak menerima notis panggilan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, disebabkan ada ahli tidak menerima notis panggilan menghadiri kongres tersebut, ramai dalam kalangan mereka yang layak mengundi pada pemilihan CEC parti gagal berbuat demikian.
Mengulas isu sama, Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pendedahan ahli DAP tentang masalah tersebut menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin parti itu yang mementingkan diri sendiri.
Jelasnya, masalah itu berlaku kerana sikap berat sebelah yang diamalkan oleh parti tersebut terhadap ahlinya sendiri.
"Oleh itu, amat wajar ROS menuntut DAP mengadakan semula pemilihan CEC kerana kecelaruan serta manipulasi yang berlaku dalam parti itu," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment