My Add

Friday, 28 June 2013

Guna sistem perkomputeran awan

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Pelajar sekolah berkemungkinan tidak perlu membawa kerja-kerja rumah mereka ke sekolah selepas ini berikutan pelaksanaan sistem perkomputeran awan oleh kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem itu akan membantu pelajar menyimpan data, termasuk kerja-kerja rumah mereka di dalam satu akaun simpanan secara dalam talian dan pada masa sama, membolehkan guru mengakses data tersebut bila-bila masa.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem tersebut akan dilakukan di sekolah-sekolah selepas kementeriannya melakukan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran berhubung perkara itu dalam masa terdekat ini.

"Pelajar dulu terpaksa membawa buku yang berat ke sekolah tapi kini ada kemudahan untuk menyimpan data dalam sistem ini.

"Sistem ini sekali gus membantu pihak sekolah dan memudahkan ibu bapa untuk memantau prestasi anak mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem perkomputeran awan AwanHeitech dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi HeiTech Padu Berhad, Datuk Mohd. Hilmey Mohd. Taib dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harris Ismail serta Pengurus Teknikal AwanHeiTech, Kenny Lai.

Tambah Shabery, pengaplikasian sistem tersebut bertepatan dengan penggunaan alat berkaitan teknologi yang menjadi keperluan utama di sekolah-sekolah pada masa kini.

Beliau berkata, keselamatan sistem perkomputeran itu akan terus ditingkatkan dari masa ke semasa agar tidak berlaku sebarang penyelewengan terhadap data tersebut terutama melalui kerjasama bersama pelbagai pihak termasuk CyberSecurity Malaysia.

Jelasnya, pendekatan tersebut juga selaras dengan penembusan jalur lebar yang mencecah 67 peratus di seluruh negara.

"Di bawah Pelan Utama Digital Malaysia, kita mengambil perhatian bahawa sistem awan ini merupakan antara teknologi baharu yang mempunyai peranan penting dalam proses transformasi," katanya.

Berdasarkan kajian terkini Business Software Alliance (BSA), Malaysia menduduki tempat ke-13 daripada 24 ekonomi dunia berhubung kesediaan dalam melaksanakan sistem perkomputeran awan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment