Inkues mangsa tertimbus bermula
Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, SELASA, 18 Jun, 2013: Polis telah memulakan inkues bagi menentukan status Lim Chin Aik, 44, yang dikhuatiri hilang dalam lubang yang terbentuk selepas rod penebat kilat Menara UMNO jatuh ke Jalan Macalister semasa kejadian ribut pada Khamis lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan pada hari pertama hari ini membabitkan penelitian semula di tempat kejadian termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan Menara UMNO.
"Siasatan merangkumi pelbagai aspek dan untuk memastikan mangsa berada di tempat kejadian, polis meneliti CCTV terbabit namun buat masa ini saya tidak dapat memaklumkan sama ada Chin Aik berada di tempat kejadian atau sebaliknya.
"Selain itu, bukti-bukti lain seperti laporan seorang saksi yang berada di tempat kejadian dan mendakwa melihat kereta mangsa dihempap rod penebat kilat ketika ribut melanda juga akan diambil kira dalam inkues ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengumumkan penubuhan jawatankuasa inkues sebagai langkah terbaik bagi menentukan status mangsa selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan selain mendapat persetujuan keluarga.
Dalam kejadian ribut terburuk yang pernah melanda negeri ini, dua terbunuh manakala lapan kenderaan lain di Jalan Macalister dihempap runtuhan rod konkrit penebat kilat berkenaan dan membentuk lubang besar.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, nombor casis kereta yang ditemui ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat juga didapati sepadan dengan kereta mangsa yang dilaporkan hilang oleh isterinya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment