My Add

Friday, 28 June 2013

Kerajaan perlu campur tangan

 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Jun, 2013: Kerajaan diminta campur tangan dalam soal penentuan harga rumah yang dibina oleh syarikat swasta khususnya di ibu kota yang dilihat terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh sebahagian besar penduduknya.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abd. Ghani (gambar) berkata, langkah itu penting kerana perumahan merupakan keperluan utama penduduk terutama dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dan mereka dapat menikmati kehidupan lebih selesa.

“Di kawasan Parlimen saya sejak dua tiga tahun kebelakangan ini terdapat kira-kira 7,000 unit rumah dibina dengan harga hampir RM1 juta," katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Keadaan itu katanya, menyebabkan ramai yang tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang terlalu tinggi.

Menurutnya, walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak mencampuri penetapan harga rumah melibatkan syarikat swasta, kerajaan perlu memainkan peranannya agar rakyat mampu membeli rumah.

Johari juga menyatakan kebimbangannya apabila sebahagian besar pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melibatkan golongan profesional.

“Jika dahulu golongan miskin bandar dan berpendapatan rendah yang memohon PPR tetapi kini golongan graduan dan baru memasuki pekerjaan turut memohon mendapatkan rumah PPR kerana tidak mampu membeli rumah yang tinggi harganya," ujar beliau.

Beliau berkata, DBKL menerima kira-kira 118,000 permohonan termasuk daripada golongan profesional untuk mendapatkan rumah PPR sedangkan jumlah yang ada hanya 3,500 unit.

Sehubungan itu, Johari mencadangkan agar tanah milik kerajaan atau DBKL yang belum melibatkan pembangunan kerjasama dengan swasta dikaji semula dan dibina dengan rumah PPR.

Kerajaan juga katanya, perlu mengetepikan soal keuntungan daripada pembangunan tanah strategik milik kerajaan sebaliknya mengutamakan projek pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat.

“Saya juga cadangkan kerajaan memastikan kawasan yang dibina PPR dilengkapkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti komuter dan transit aliran ringan (LRT) agar penduduk tidak terbeban dengan kos pengangkutan pula," ujarnya.

Johari berkata, kawasan PPR yang dibangunkan juga hendaklah bukan di lokasi yang terlalu jauh dari pusat bandar dan tidak mempunyai prasarana.

“Kerajaan juga hendaklah mewartakan tanah setinggan milik DBKL dan agensi kerajaan lain dengan projek PPR, bukannya membenarkan projek mahal yang nilainya mencecah bilion ringgit dan rakyat berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah di kawasan itu," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment