My Add

Thursday, 27 June 2013

Langkah berwaspada hadapi masalah pernafasan

SHAH ALAM, RABU, 26 Jun, 2013: Jabatan Kesihatan Selangor mengeluarkan arahan berjaga-jaga di setiap klinik kesihatan bagi menghadapi kes-kes melibatkan masalah pernafasan akibat keadaan jerebu yang melanda di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainuddin Abdullah berkata, arahan tersebut dikeluarkan susulan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Pelabuhan Klang yang mencatatkan bacaan tertinggi iaitu melebihi 300 semalam.

Malah, katanya, setakat semalam pihaknya telah menerima laporan peningkatan kes pesakit luar melibatkan masalah pernafasan melebihi kadar satu peratus di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilangan sebenar kes berkenaan yang diperoleh berdasarkan kehadiran orang ramai untuk mendapatkan rawatan akibat masalah itu di klinik-klinik kesihatan di Selangor.

''Setakat ini kita dimaklumkan paras IPU di beberapa tempat di Selangor telah menurun termasuk Pelabuhan Klang yang mencatatkan bacaan 150 pada pagi ini. Penurunan itu dipercayai disebabkan keadaan hujan semalam dan hari ini.

''Sungguhpun begitu, kita tetap meletakkan arahan untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes melibatkan masalah pernafasan dan paru-paru," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan penutup muka dan hidung kepada orang ramai di Klinik Kesihatan di Seksyen 19, di sini hari ini.

Zainuddin turut mengingatkan orang ramai supaya melaksanakan langkah-langkah tertentu bagi mencegah masalah kesihatan sepanjang keadaan jerebu yang melanda di negeri ini.

Katanya, antara langkah itu adalah memakai penutup mulut dan hidung, mengurangkan aktiviti luar serta meminum banyak air bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan mereka.

''Sekiranya orang ramai menghadapi masalah pernafasan, mereka perlu merujuk ke klinik-klinik kesihatan terdekat untuk rawatan lanjut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment