JAKARTA, SABTU, 01 Jun, 2013: Malaysia dan Indonesia akan meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang ekonomi perniagaan melalui pemasaran produk syarikat dari kedua-dua negara itu di pasaran antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Datuk Hassan Malek.
Kerjasama itu termasuk dalam bidang latihan dan kawalan kualiti produk serta penyediaan produk-produk perniagaan yang berkemampuan menembusi dan bersaing di pasaran antarabangsa seperti produk francais dan perniagaan peruncitan seperti kedai serbaneka (convenient stores).
"Kita akan mewujudkan jawatankuasa kerja bersama bagi berbincang dan menyusun langkah-langkah selanjutnya untuk merealisasikan kerjasama itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan forum perniagaan Malaysia-Indonesia di sini, Sabtu.
Hassan berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan manakala di pihak Indonesia pula kaya dengan pelbagai produk untuk pasaran.
Untuk permulaan, kerjasama itu akan menumpukan kepada pasaran di rantau Asean dan kemudiannya dikembangkan ke seluruh dunia.
Hassan mengetuai delegasi Malaysia dalam misi perdagangan kementeriannya ke Indonesia.
Sejumlah syarikat dari Malaysia menyertai Ekspo Perniagaan Malaysia-Indonesia (MIBEX) 2013 selama tiga hari mulai semalam.
Syarikat dari Malaysia itu terdiri daripada 11 syarikat francais, lima syarikat jualan langsung dan tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Malaysia menyasarkan syarikat-syarikat itu dapat menjual produk masing-masing sehingga RM31.5 juta di MIBEX 2013.
Pada MIBEX 2012, syarikat-syarikat dari Malaysia mencatat jualan berjumlah RM28 juta.
Hassan menyifatkan misi perdagangan kali ini sebagai berjaya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment