PDRM terus pantau aktiviti di laman sosial
GEORGE TOWN, SABTU, 01 Jun, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas
terhadap individu yang menggunakannya untuk melanggar perundangan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd Zinin.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh setiap aktiviti sama ada ia berunsur jenayah atau hasutan, dan sekiranya ada bukti yang kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran.
"Kita tidak akan bagi amaran lagi kerana sudah banyak amaran yang diberi malah selama ini juga, kita sudah tunjuk tindakan tegas, tidak perlu lagi menghuraikan satu persatu apa yang perlu kita buat.
"Jika mereka jelas buat salah, kita akan terus laksanakan apa yang wajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi iaitu Mohd Akram Abd Rahim dan pasangannya, Shakira Mirza di kediaman rasmi Ketua Polis Negeri di Jalan Brown di sini hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment