Perhilitan rampas 3,059 barangan hidupan liar tiruan
Oleh LILIS SURIANI OMAR
KUALA LUMPUR, RABU, 19 Jun, 2013: Pelbagai helah digunakan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan termasuk menghasilkan bahagian hidupan liar tiruan daripada plastik.
Kegiatan itu namun berjaya dibongkar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang merampas sebanyak 3,059 bahagian hidupan terbabit yang dikategorikan sebagai dilindungi sepenuhnya dalam dua serbuan di sekitar Jalan Pasar, Pudu di sini semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan pertama dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari selepas menerima maklumat orang awam yang memaklumkan tentang kegiatan tersebut.
"Selepas menerima maklumat, sepasukan tujuh penguat kuasa ke lokasi dan membuat risikan sebelum merampas kira-kira 500 bahagian haiwan antaranya kuku, tulang dan gigi harimau, burung helang dan gajah yang hasil semakan mendapati diperbuat daripada plastik.
"Selain itu, kita turut merampas kulit dan bulu harimau yang sebenarnya adalah kulit kambing.
"Sehubungan itu, kita telah menahan tiga penjual lelaki warga India berumur 30-an hingga 50-an," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perhilitan, Cheras di sini hari ini.
Menurut Abdul Kadir, susulan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua di kediaman suspek terletak berdekatan pada pukul 3 petang dan merampas lebih 2,500 lagi bahagian haiwan sama.
"Modus operandi adalah dengan menyakinkan orang ramai bahawa barangan tersebut tulen. Kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM5,000," katanya.
Tambah beliau, risikan mendapati warga asing terbabit menawarkan harga permulaan kira-kira RM500 bagi setiap gading gajah namun boleh dikurangkan sehingga RM50 sekiranya ditawar beberapa kali.
"Kita akan membuat ujian makmal untuk mengenal pasti kandungan bahan dalam barangan tersebut dan orang ramai dinasihatkan tidak tertipu serta tidak membeli bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
"Kes ini boleh disiasat di bawah Seksyen 87 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menjual bahagian atau terbitan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment