My Add

Thursday, 20 June 2013

Rembau mahu muncul nombor satu dalam pencapaian PMR

 * SEBAHAGIAN daripada pelajar sekolah menunjukkan sijil penyertaan masing-masing selepas Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi PMR Sekretariat Malaysia Prihatin - Utusan Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Rembau, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
REMBAU, RABU, 19 Jun, 2013: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau bertekad untuk memastikan daerah itu muncul yang terbaik dalam pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini selaras dengan usaha kerajaan negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai Lembah Ilmu.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Asnizar Abdul Samad memberitahu, jangkaan unjuran pencapaian itu mampu dilakukan berdasarkan pelbagai usaha yang dilakukan menerusi program-program pendidikan di daerah ini.

''Kita mahu jadikan Rembau daerah nombor satu dalam pencapaian semua peperiksaan awam di negara ini termasuklah PMR yang sekarang ini sedang giat dilakukan menerusi program bersama agensi-agensi berkaitan.

''Malah PPD Rembau melihat usaha sama yang dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan pendidikan merupakan perkongsian pintar yang mana kita harapkan usaha luar biasa ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penutup Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi PMR di Pejabat Pelajaran Rembau di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP), Noraini Nordin.

Program melibatkan lebih 200 pelajar dari lapan buah sekolah di sekitar Rembau berlangsung selama dua hari bermula semalam itu anjuran SMP dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia.

Sementara itu Noraini memberitahu, peserta perlu menginap di asrama dan akan mengikuti beberapa pengisian tambahan seperti program kerohanian iaitu tazkirah dan suai kenal menerusi bimbingan pakar motivasi, Dr. Ismail Zain.

''Maklum balas yang kita terima cukup menggalakkan dan kita harap dengan pendekatan dilakukan oleh pihak kami, ia akan memberikan impak kepada para pelajar untuk memperbesarkan potensi mereka dalam mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan seperti yang dihasratkan.

''Kita di pihak SMP juga ingin berterima kasih kepada PPD Daerah Rembau yang telah membuka jalan kepada penganjuran program yang sangat berguna ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment