My Add

Sunday, 2 June 2013

Siew Kiong yakin profesionalisme Jawatankuasa Disiplin MCA

PONTIAN, SABTU, 01 Jun, 2013: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong yang diarah bercuti daripada sebarang aktiviti MCA, menaruh keyakinan bahawa Jawatankuasa Disiplin parti itu mampu menangani kes membabitkan beliau dengan baik.

Beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa itu, namun tidak akan melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri.

“Berdasarkan laporan akhbar saya dikatakan perlu menghadap jawatankuasa tersebut minggu hadapan, namun tarikh sebenar masih belum dipastikan.

“Saya akan memberi kerjasama serta menjelaskan kedudukan sebenar mengenai keputusan menerima pelantikan sebagai Exco Johor. Saya harap mereka dapat mengambil kira penglibatan saya dalam parti bermula di peringkat cawangan sehingga menjadi setiausaha.

“Apa pun saya akur dengan sebarang tindakan yang akan diambil, namun tidak akan melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Kudus di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pontian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed.

Mengibaratkan sebagai ‘digantung tak bertali’, Siew Kiong menghargai sokongan yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO Pontian kerana memahami situasi yang berlaku.

“Walaupun tidak lagi dibenarkan terlibat dengan aktiviti parti, tanggungjawab sebagai ADUN Pulai Sebatang akan diteruskan seperti mana biasa sejak dua penggal yang lalu. Saya berterima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan walaupun pilihan raya umum dibayangi pelbagai fitnah terhadap BN," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebuah lagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat bagi DUN Pulai Sebatang akan dibuka di pusat bandar Pontian, selain kemudahan serupa yang beroperasi seperti biasa di Pusat Perdagangan Pontian yang juga Pejabat MCA Bahagian Pontian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment