My Add

Wednesday, 19 June 2013

Tiga lelaki digantung edar 4.862 kilogram ganja

KOTA BHARU, RABU, 19 Jun, 2013: Kegembiraan tiga lelaki yang dibebaskan daripada kesalahan mengedar dadah pada 2010 berakhir apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka atas kesalahan itu yang dilakukan pada tahun 2007.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Abdullah Mahmood, 48; Wan Kamaruddin Wan Ahmad, 53; dan Saharun Ahmad, 42, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah bagi menolak pertuduhan yang dihadapi.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didakwa mengedar ganja seberat 4.862 kilogram pada pukul 8.15 pagi di tempat letak kereta di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 7 Ogos 2007.

Sepanjang perbicaraan, Abdullah diwakili peguam P. Doraj Raj manakala Wan Kamaruddin dan Saharun masing-masing diwakili Zamri Mat Nawang dan Che Wan Abdullah Sani.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment