My Add

Friday 12 July 2013

10,000 penyokong dijangka iringi Zaihan

KUALA BESUT, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Kira-kira 10,000 penyokong dari seluruh negara dijangka menyertai perarakan mengiringi calon Barisan Nasional (BN),Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Besut, di Kampung Raja dekat sini, esok.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perarakan itu diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK bersama pemimpin tertinggi BN lain.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II berharap penyokong BN hadir beramai-ramai kerana PRK itu begitu penting bagi UMNO dan BN terutama di negeri ini.

Beliau juga meminta semua penyokong BN memakai baju berwarna biru sebagai simbolik kepada PRK Kuala Besut yang bertemakan Kuala Besut Bertambah Biru.

"Walaupun penamaan calon dan pilihan raya diadakan pada bulan puasa, diharap penyokong parti tetap keluar beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada calon dan membangkitkan semangat perjuangan BN.

"Semua pemimpin tertinggi BN termasuk menteri, timbalan menteri dan pemimpin sayap kanan parti komponen BN dijangka hadir untuk memberi sokongan kepada calon terbabit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jentera parti di sini malam tadi.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Kuala Besut berkembang seiring dengan kawasan-kawasan lain dengan perhatian yang diberikan oleh pemimpin setempat dan kerajaan negeri.

Katanya, ini termasuklah yang terbaru melibatkan peruntukan RM1 juta untuk membaik pulih jalan yang sudah dirancang oleh Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

"Antara projek lain untuk penduduk DUN itu ialah pembinaan 80 unit rumah mampu milik untuk nelayan di Kampung Kandang Lembu yang akan dirasmikan majlis pecah tanah oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Julai.

"Selain itu, sebanyak 150 unit rumah pangsa di Kuala Besut sudah siap pembinaannya dan akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya selepas PRK DUN berkenaan," katanya pada majlis berbuka puasa di sini petang semalam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment