My Add

Sunday 21 July 2013

3 parti Cina BN bergabung

Oleh muzdalifah mustapha

 Chang Ko Youn
KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Julai, 2013: Gerakan, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan mengadakan perbincangan rasmi tentang pembentukan satu parti baharu yang berasaskan kaum Cina selepas kesemuanya selesai mengadakan pemilihan.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, perbincangan yang julung kali akan diadakan itu menjurus kepada kepentingan untuk mewujudkan satu entiti parti kaum Cina yang menggabungkan kesemua parti Cina dalam Barisan Nasional (BN).

''Saya bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui telah berbincang tentang perkara ini beberapa kali sebelum ini. Bagaimanapun keputusan tentangnya perlu dicapai hanya selepas semua parti memilih barisan kepimpinan yang baharu, mungkin selepas Oktober.

''Sekarang yang penting, MCA perlu memperbaiki isu dalaman, Gerakan juga. Untuk mewujudkan sebuah parti baharu bukan semudah yang disangka, bukan MCA masuk Gerakan dan Gerakan masuk MCA. Kita berbeza. Ini yang perlu dibincangkan,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ko Youn berkata, dalam usaha untuk menggabungkan kesemua parti yang ada kini semua pihak perlu memikirkan tentang satu parti untuk semua kaum memandangkan keahlian Gerakan dan SUPP bukan sahaja terdiri daripada kaum Cina tetapi Melayu, India, Kadazan dan Iban.

Sehubungan itu katanya, di samping mewujudkan satu parti baharu berasaskan kaum Cina, cadangan untuk mewujudkan satu parti baharu berasaskan semua kaum amat perlu atau hanya satu parti iaitu BN.

Terdahulu Ko Youn yang mempengerusikan mesyuarat Gerakan hari ini memberitahu, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menggantikan penggunaan dakwat kekal kepada sistem biometrik semasa pilihan raya akan datang.

Kata beliau, menerusi sistem biometrik kerajaan BN bukan sahaja boleh membantu membersihkan nama SPR daripada mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaliknya meningkatkan keupayaan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan orang ramai terutama mereka yang telah berhijrah dan menetap di kawasan berdekatan tempat bekerja hanya mengundi pada pilihan raya di kawasan tersebut dan bukannya di kampung halaman masing-masing.

''Mereka digalakkan untuk menukar alamat dalam kad pengenalan mengikut kediaman mereka sekarang dan bukan alamat kampung lagi. Dengan cara ini dapat memberi keadilan kepada calon yang bertanding.

''Bayangkan mereka yang menetap di Petaling Jaya tetapi apabila mengundi pulang ke Kuala Kangsar. Sudah pasti mereka tidak kenal calon di Kuala Kangsar dan tidak tahu isu yang melanda orang tempatan. Jika mereka salah memberi undi tidak adil pada orang tempatan dan calon,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment