My Add

Wednesday 17 July 2013

4 projek baharu di Koridor Utara bernilai RM1.96 bilion

 * REDZA Rafiq (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan wakil Unifortune Holdings Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan salah satu projek pembangunan di wilayah Koridor Utara disaksikan oleh Najib Razak dan Menteri-menteri Perlis, Perak dan Kedah serta Ketua Menteri Pulau Pinang, di Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - UTUSAN
PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013: Empat projek baharu akan dilaksanakan di wilayah Koridor Utara membabitkan nilai pelaburan RM1.96 bilion dan bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Empat projek tersebut melibatkan pembinaan pusat membeli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah.

Projek pelaburan lain yang diumumkan hari ini ialah pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

Majlis pertukaran memorandum pelaburan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq dengan pihak pelabur iaitu JPB Asia Pacific Sdn. Bhd., UWC Industrial Sdn. Bhd., Unifortune Holdings Sdn. Bhd. dan Seri Chenang Resort Langkawi Sdn. Bhd.

Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Redza berkata, semakin banyak syarikat asing telah menunjukkan minat untuk melabur di Koridor Utara yang meliputi empat negeri di utara Semenanjung.

"Pelaburan yang diumumkan hari ini misalnya membabitkan pertukaran kemahiran dan teknologi dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.

"NCIA sentiasa berusaha untuk membawa kemahiran asing ke Koridor Utara supaya kesan pelaburan itu boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat,'' katanya.

Kata beliau, walaupun berdepan suasana ekonomi global yang belum menentu tetapi NCIA tetap menyasarkan pelaburan bernilai RM10 bilion di Koridor Utara tahun ini.

Tahun lepas, wilayah itu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.3 bilion dengan 16,355 peluang pekerjaan diwujudkan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment