My Add

Friday 5 July 2013

500 rumah terbabit banjir kilat awal pagi di Kuala Kedah

ALOR SETAR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Kira-kira 500 rumah di beberapa taman dan kampung sekitar Kuala Kedah dekat sini dilanda banjir kilat awal hari ini.

Kawasan yang terlibat ialah di Taman Perumahan Awam, Taman Desarina, Taman Sri Putra, Kampung Peremba dan Kampung Sungai Sebatang.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi ekoran hujan lebat itu dipercayai berpunca daripada longkang serta tali air berhampiran kawasan berkenaan tersumbat dan tidak mampu menampung air hujan yang banyak.

Seorang penduduk di Taman Perumahan Awam, Abu Hasan Nor, 54, berkata kira-kira 80 peratus daripada 109 rumah di kawasan taman itu terbabit dalam kejadian banjir kilat itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) taman itu berkata setiap kali hujan lebat, kawasan itu akan ditenggelami air disebabkan masalah perparitan yang menghubungkan kawasan perumahan itu ke Sungai Tok Pasai.

"Bila hujan lebat dalam satu jam air mula melimpah ke rumah. Macam nilah setiap kali hujan lebat. Masalah utama ialah perparitan yang perlu diselenggara dengan segera," katanya kepada pemberita hari ini.

Sharifah Noor Hafiza Syed Md Tahir, 38, berkata setiap kali hujan lebat, air akan melimpah masuk ke rumah mereka. 

"Kadang-kadang tengah malam pun kena bangun kemaskan barang untuk elak daripada ditenggelami air. Habis rosak perabot dan barang-barang lain kalau tak sempat nak selamat," katanya.

Sharifah Noor Hafiza yang tinggal di taman itu sejak 30 tahun lepas berkata sebelum ini penduduk telah meminta pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu namun tiada perkembangan.

"Kami harap masalah banjir kilat yang sering berlaku ini dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi memastikan kehidupan penduduk di kawasan ini tenteram," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment