My Add

Tuesday 9 July 2013

689 ditahan Ops Tapis Khas sekitar KL

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Polis menahan 689 orang bersabit pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur selama dua hari bermula Jumaat lepas.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam operasi yang berakhir petang semalam itu, polis turut merampas 134.73 gram dadah membabitkan heroin, ganja, erimin 5 dan syabu.

Mereka yang ditahan berusia antara 18 dan 51 tahun, dengan 58 daripadanya adalah wanita.

"Hasil saringan awal air kencing didapati seramai 458 orang positif pelbagai jenis dadah dan 231 orang pula didapati negatif," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kesemua yang ditahan itu merupakan warga tempatan dan mereka yang didapati positif dadah akan dituduh di bawah Seksyen 3(1)(A) Akta Penagihan Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983, katanya.

Adnan berkata, antara kawasan panas yang menjadi tumpuan operasi ialah di sekitar Chow Kit dan di situ sebanyak 130 orang ditahan dan kesemua mereka didapati positif dadah.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan serentak di setiap daerah di Kuala Lumpur bagi menangani masalah penagihan dan pengedaran dadah serta membendung peningkatan kadar jenayah.

Katanya, polis akan meneruskan pemantauan dan menjalankan operasi seperti itu bagi memastikan tempat-tempat yang dipercayai aktif dengan aktiviti pengedaran dadah dapat dibanteras.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya berjaya menumpaskan 10 kumpulan pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai kira-kira RM8.8 juta di sekitar Lembah Klang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment