My Add

Saturday 6 July 2013

Anggota MT syarat layak tanding Presiden

 Tengku Adnan
PUTRAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Mana-mana ahli UMNO yang berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti itu pada pemilihan tahun ini perlu menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) parti sekurang-kurangnya satu penggal.

Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, syarat tersebut merupakan satu daripada perkara terkandung dalam Perlembagaan UMNO yang baharu.

Katanya, calon yang layak bebas untuk bertanding tanpa memerlukan pencadang mahu pun penyokong.

"Siapa yang berhasrat untuk bertanding perlu mendaftar terlebih dahulu kemudian saya akan tetapkan satu hari untuk proses itu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang di ibu pejabat UMNO.

"Kemudian saya akan meneliti semua senarai itu dan esoknya baharu diumumkan siapa boleh bertanding bermula daripada jawatan Presiden hingga Ketua Puteri," katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Nur Ramadan untuk Surau-surau di Parlimen Putrajaya dan Sambutan Ulang Tahun Hari Lahir di Dewan Kejiranan Presint 16, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,500 dan barang keperluan bernilai RM500 kepada 51 surau di kawasan Parlimen Putrajaya bagi menyambut bulan Ramadan yang dijangka bermula Rabu hadapan.

Menurut Tengku Adnan, bagi ahli UMNO yang mahu bertanding jawatan MT pula mereka perlu memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa bahagian sekurang-kurangnya satu penggal.

Katanya, syarat ketat tersebut ditetapkan kerana pihaknya tidak mahu ada ahli yang tidak berkelayakan dan mempunyai niat tidak elok terhadap parti bertanding.

"Kita harap dengan kaedah ini dapat mengurangkan politik wang dan lebih menyeluruh di mana sesiapa yang rasa layak tidak perlu kawan-kawan calonkan terus boleh bertanding jawatan ketua bahagian atau Presiden dengan syarat ikut kriteria dan peraturan yang tetapkan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas siri jelajah taklimat prosedur dan kaedah pemilihan UMNO yang berakhir Ahad lalu, katanya, rata-rata yang hadir bersetuju semua jawatan tertinggi dalam parti tidak ditandingi.

"Maklum balas yang kami dapat sangat baik, pada masa sama mereka juga meminta semua jawatan iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, MT, Ketua Pemuda dan Wanita tidak dipertandingkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment