My Add

Sunday 7 July 2013

Bahrain diharap hantar lebih pelajar ke Malaysia

MANAMA, AHAD, 07 Julai, 2013: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap Bahrain mempertimbangkan kemungkinan menghantar lebih ramai pelajarnya melanjutkan pengajian di Malaysia.

Titah baginda Malaysia mempunyai segala kemudahan yang menepati keperluan pelajar Bahrain termasuk kos yang rendah, bidang pengajian yang pelbagai selain makanan halal.

"Kehadiran pelajar Bahrain di Malaysia juga meningkatkan pemahaman kebudayaan antara rakyat serta merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," titah baginda selepas menerima menghadap Menteri Kehakiman, Hal Ehwal Islam dan Wakaf Bahrain Shaikh Khalid Al-Khalifa serta Menteri Pendidikan Bahrain Dr Majid Ali Al Nuaimi di sini pada Ahad.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah institusi pengajian tinggi Malaysia juga terkenal dengan kursus dan program berkualiti sekalipun ditawarkan pada kos pengajian yang rendah.

"Tambahan pula institusi ini mempunyai kemudahan canggih yang memastikan pelajar bukan sahaja dapat menyerap ilmu dengan baik tetapi juga meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka, sekali gus membolehkan mereka bersaing di peringkat dunia," titahnya.

Baginda turut menggalakan kerjasama antara institusi pengajian di Malaysia dan Bahrain dipertingkat, selain kerjasama antara kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis turut menyarankan agar kerajaan Bahrain melanjutkan tempoh visa ketika ketibaan bagi rakyat Malaysia daripada 14 hari sekarang kepada 90 hari, selaras dengan langkah yang dilaksana Malaysia untuk rakyat Bahrain.

Tuanku Syed Faizuddin berada di Bahrain untuk lawatan kerja selama dua hari bermula hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment