My Add

Tuesday 9 July 2013

DBKK PBT pertama di Sabah guna e-penguatkuasaan

KOTA KINABALU, ISNIN, 08 Julai, 2013: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sabah menggunakan Sistem e-Penguatkuasaan iaitu sistem pengurusan kompaun dan penguatkuasaan berkomputer.

Datuk Bandar Banda Raya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata, sistem itu akan menjadikan pengurusan sedia ada berjalan dengan lebih sistematik dan cekap.

"Sistem ini akan diguna pakai oleh anggota penguatkuasa DBKK dalam menangani kesalahan seperti letak kereta, kebersihan premis makanan, tapak binaan, kutu sampah, struktur haram dan kesalahan lain di bawah undang-undang kecil DBKK," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sistem itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sistem itu banyak membantu pelaksanaan pelbagai proses dari pengeluaran kompaun berkomputer sehingga pengurusan notis tindakan mahkamah.

"Penggunaan Peranti Mudah Alih dan Pencetak Mudah Alih bagi penguatkuasaan mengkompaun pelbagai jenis kesalahan dapat mengurangkan masa kerja serta menjimatkan kos bagi tenaga kerja dan penggunaan kertas," katanya.

Abidin berkata, antara faedah utama sistem ini ialah kemasukan data berulang dan bertindih tidak lagi wujud, imej atau gambar sebagai bukti kesalahan boleh ditunjuk di mahkamah, merekod gerak-geri anggota penguatkuasa melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan rayuan keputusan dibuat secara interaktif.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan pengusaha premis makanan agar menjaga kebersihan.

Beliau berkata, baru-baru ini, 14 premis makanan diarah tutup kerana gagal memenuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

"Pihak DBKK bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pemeriksaan kepada setiap premis makanan, dan sekiranya didapati kotor, akan diarah tutup serta-merta demi keselamatan pelanggan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment