My Add

Thursday 25 July 2013

DPIM gesa kerajaan kaji semula peruntukan pentadbiran wakaf di WP

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) hari ini menggesa kerajaan mengkaji dan meneliti semua peruntukan mengenai pentadbiran wakaf di Wilayah Persekutuan.

Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata pengumuman mengenai penarikan balik pembentangan Rang undang-undang Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 2013 di Parlimen, baru-baru ini memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk meneliti semula rang undang-undang ini.

Katanya DPIM juga menyarankan kementerian yang terlibat supaya memasukkan peruntukan baharu, yang memangkinkan penubuhan Wakaf Korporat untuk menepati hasrat yang terkandung dalam Seksyen 7 (1) dan Seksyen 7 (2).

Menurut draf Akta 2013 yang sedia ada, ia tidak memungkinkan Wakaf Korporat ditubuhkan, berikutan Seksyen 79 menegaskan “Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi (a) semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas”.

Menyedari hakikat itu, DPIM mencadangkan kuasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam Akta berhubung wakaf dikaji semula dan menjadikan majlis itu sebagai pemegang amanah tunggal wakaf.

Selain itu, MAIWP perlu diberi kuasa menubuhkan wakaf korporat, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat, universiti, koperasi dan institusi-institusi Islam menubuhkan Wakaf korporat bebas, dengan syarat-syarat ditentukan MAIWP, tanpa menyekat keupayaan pewakaf mengurus sepenuhnya harta dan aset wakaf korporat," katanya. 

Seksyen 7 akta berkenaan mewajibkan MAIWP menggalakkan, mendorong, memudahkan dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan, selaras dengan hukum syarak.

Muhammad Ali berkata Waqaf An Nur Corporation Bhd yang ditubuhkan oleh Johor Corporation hari ini berjaya menghimpun saham-saham syarikat tersenarai dan tidak tersenarai bernilai RM575.9 juta pada akhir 2012 (berbanding RM250 juta Nilai Aset Bersih (NAB) atau nilai aset bersih ketika diwakafkan).

Selain menguasai perniagaan strategik, wakaf korporat berkewajipan menjayakan program kebajikan untuk warga miskin dan golongan lemah, juga memperkukuh institusi dan badan-badan Islam dalam masyarakat.

Untuk menggalakkan penubuhan wakaf korporat, katanya kerajaan perlu menimbang untuk memberikan badan-badan wakaf korporat, insentif termasuk kebebasan cukai dan seumpamanya.

"Kaedah insentif cukai berserta memudahkan penubuhan wakaf dan memberi kebebasan luas badan dan organisasi bukan agama mengurus wakaf, menjadi faktor utama kebangkitan semula institusi wakaf di Turki, menjadikan wakaf salah satu badan penting kemajuan ekonomi dan sosial masa depan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment