My Add

Wednesday 24 July 2013

Empat dilantik Ketua Perwakilan Malaysia yang baru

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Kerajaan Malaysia melantik empat Ketua Perwakilan Malaysia yang baru sebagai wakil negara di Singapura, Austria, Mesir dan Finland.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, keempat-empat mereka akan menerima Watikah Tauliah Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara esok.

Mereka yang dilantik ialah bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob; bakal Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Selwyn Vijayarajan Das; bakal Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan bakal Duta Besar Malaysia ke Finland, Datin Seri Blanche Olbery.

Menurut kenyataan itu, Husni Zai kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala di Kementerian Luar dan berkhidmat di kementerian berkenaan sejak 1981.

Beliau pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Thailand dari 2008 hingga 2010 dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait dari 2003 hingga 2005.

Selain itu, Husni Zai juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk Filipina, Pakistan dan United Kingdom.

Sementara itu, Das kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala di Kementerian Luar dan berkhidmat dengan kerajaan sejak 1979.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada dari 2009 hingga 2010 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya dari 2005 hingga 2009, selain pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.

Ku Jaafar pula adalah pegawai kanan Kementerian Luar yang berkhidmat sejak 1981.

Beliau kini adalah Ketua Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam dari 2007 hingga 2010 dan Duta Besar Malaysia ke Qatar dari 2004 hingga 2007.

Ku Jaafar juga pernah berkhidmat di Perwakilan Malaysia di Kanada, Laos, Croatia dan Jordan.

Blanche pula adalah pengamal undang-undang sejak 1986 dan pemegang LLB (Hons) dari University of Buckingham.

Beliau adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea sejak 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment