My Add

Thursday 4 July 2013

Geng penjenayah Oxy terus mengganas

Oleh NORHIDAYU MOHD HASSAN

PETALING JAYA, RABU, 03 Julai, 2013: Sekumpulan penjenayah bertindak nekad memecah masuk sebuah pasar raya di Taman Kinrara, Puchong dekat sini dan melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM70,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam premis itu awal pagi ini.

Penjenayah dikatakan merancang tindakan mereka dengan teliti kerana selain melarikan wang tunai dari mesin ATM itu, mereka turut memecah masuk sebuah kedai emas dalam premis dan melarikan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan itu.

Kejadian yang berlaku di pasar raya terletak di Jalan TK 1/11A itu hanya disedari pekerja premis yang datang untuk memulakan tugas pada pukul 7.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, berdasarkan kesan yang ditemui pada mesin ATM tersebut, polis percaya penjenayah terbabit menggunakan gas oxy-Acetylene.

“Suspek dipercayai menebuk dinding simen pasar raya melalui tempat pembuangan sampah sebelum memecah masuk ke ruang pasar raya.

“Kita juga percaya mereka menggunakan gas oxy untuk memotong mesin ATM itu kerana terdapat kesan terbakar di sekitar mesin tersebut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah Abd. Razak, suspek turut memecah masuk ke kedai emas di tingkat satu, pejabat pengurusan pasar raya di tingkat dua dan bilik CCTV di tingkat tiga bangunan pasar raya itu.

“Polis percaya kesemua tempat yang dipecah masuk kumpulan itu menggunakan gas oxy dan peralatan pecah rumah.

“Setakat ini, polis dimaklumkan kedai emas itu kerugian kira-kira RM10,000," tambahnya.

Abd. Razak berkata, suspek juga dikatakan cuba membawa lari peti simpanan wang dalam pejabat pengurusan namun gagal kerana terdapat kesan umpil pada peti berkenaan.

“Malah kesemua rakaman CCTV di dalam pasar raya itu telah diambil oleh suspek namun polis akan menggunakan beberapa CCTV dari kawasan berhampiran pasar raya itu.

“Difahamkan siren keselamatan sudah berbunyi namun tiada yang melaporkannya kepada polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan dan kita percaya suspek bertindak secara berkumpulan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment