My Add

Thursday 25 July 2013

Hanya Seri Manjung catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Kualiti udara di seluruh negara semakin baik dengan hanya satu kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu di Seri Manjung, Perak.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 5 petang ini, Seri Manjung mencatat bacaan IPU pada 120 berbanding tiga kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat semalam iaitu Bukit Rambai, Tanjung Malim dan Seri Manjung.

JAS dalam kenyataannya memberitahu, secara keseluruhannya, status kualiti udara sehingga pukul 11 pagi ini bertambah baik dan peningkatan bacaan IPU di Seri Manjung adalah dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan.

"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), adalah diramalkan pada hari ini, 24 Julai 2013, kawasan di Semenanjung secara amnya cuaca dijangkakan baik di semua negeri pada waktu pagi.

"Hujan sementara di satu dua tempat dijangka berlaku di bahagian pedalaman negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Kelantan dan Terengganu pada waktu petang manakala di negeri-negeri lain cuaca dijangka baik. Pada waktu malam pula dijangkakan cuaca baik secara amnya di semua negeri," kata kenyataan itu.

Selain itu, beberapa tempat di Semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian pendalaman negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mula menerima lebih banyak hujan pada waktu petang mulai 25 Julai 2013 untuk tempoh beberapa hari.

Ini dijangka dapat membantu memulihkan keadaan berjerebu yang sedang dialami negara.

Sementara itu, laporan Pusat Pakar Meteorologi ASEAN (ASMC) menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia pada 23 Julai 2013 adalah sebanyak 292 titik panas iaitu meningkat berbanding 252 titik panas pada 22 Julai 2013.

Di Malaysia, sebanyak 27 titik panas dikesan melalui satelit NOAA-18 pada 23 Julai 2013 iaitu di negeri Johor (7), Pahang (7), Negeri Sembilan (2) dan Sarawak (11).

Di Perak, bacaan IPU di stesen pengawasan kualiti udara Seri Manjung mencatatkan tahap tidak sihat sejak pukul 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Abdul Razak Abdul Manap berkata, peningkatan bacaan IPU itu dipengaruhi oleh pencemaran jerebu merentasi sempadan berdasarkan peningkatan kepada 252 titik panas di Sumatera, Indonesia kelmarin.

"Di samping itu, negara kini sedang mengalami musim monsun barat daya dengan cuaca panas dan kering bermula Jun lalu dan dijangka berterusan sehingga awal Oktober ini.

"Angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa lingkaran jerebu sederhana ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia," katanya.

Stesen pengawasan kualiti lain di sekitar Perak seperti di Jalan Tasek dan SK Jalan Pegoh, Ipoh; Tanjung Malim dan Kampung Air Putih, Taiping, masing-masing mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, JAS Perak akan terus mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negeri mengikut tindakan yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka negeri.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meningkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap daripada kenderaan bermotor serta industri. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment