My Add

Saturday 20 July 2013

Ibu tunggal diminta daftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita - Rohani Karim

KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Julai, 2013: Ibu tunggal diminta segera mendaftarkan diri dengan Jabatan Pembangunan Wanita untuk menerima pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata berdasarkan inventori kementerian, hanya 70,000 ibu tunggal sudah berdaftar setakat ini walaupun bilangan sebenar diyakini lebih tinggi.

"Semua ibu tunggal diminta berdaftar dengan persatuan ibu tunggal yang terdekat untuk pengesahan sebelum persatuan itu mendaftar dengan jabatan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 300 penerima yang terdiri daripada penghuni Rumah Anak Yatim dan Ibu Tunggal Rumah Perlindungan Nur Kasih, di sini hari ini.

Majlis anjuran kementerian bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan (WP) itu turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Yassin, Naib Presiden Mubarak Tan Sri Zaleha Ismail, Ketua Penerangan Mubarak Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang juga Setiausaha Mubarak WP dan Pengerusi Bernama serta Pengerusi Panel Pembangunan Wanita dan Keluarga Mubarak WP Toh Puan Wan Asiah Ahmad.

Mengulas lanjut, Rohani berkata pendaftaran itu penting bagi membolehkan kementerian mendapatkan jumlah sebenar ibu tunggal dan seterusnya merangka program terbaik untuk mereka.

Katanya antara keistimewaan yang diberi untuk ibu tunggal ialah membeli barangan keperluan dengan diskaun sehingga 50 peratus menerusi Kad Skuad Pengguna di 2,170 premis perniagaan di seluruh negara termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia.

Beliau berkata sehingga 31 Mei tahun ini seramai 12,285 orang ibu tunggal telah menerima kad itu.
Kementerian sentiasa prihatin membantu golongan yang memerlukan dengan menyediakan peruntukan yang diagihkan kepada mana-mana pertubuhan sukarela kebajikan yang diwujudkan, bertujuan menjaga dan memelihara golongan warga emas, kanak-kanak, keluarga, orang kurang upaya (OKU) dan wanita.

Sehingga Mei 2013, katanya sebanyak RM28.9 juta bantuan kewangan telah diagihkan kepada 245 buah pertubuhan sukarela kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan beban kewangan pertubuhan itu dalam melaksanakan pelbagai program.

Bagi bantuan kepada rumah anak yatim, pada tahun lepas JKM telah menyalurkan sejumlah RM7.5 juta sebagai geran tahunan kepada 88 rumah anak yatim untuk manfaat 5,185 anak yatim di seluruh negara.

"Sehingga Mei 2013 pula sejumlah RM6.7 juta geran tahunan telah disalurkan kepada 74 rumah anak yatim untuk manfaat 4,433 orang anak yatim," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment