My Add

Tuesday 9 July 2013

Individu lain mungkin ditahan

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu lagi bagi membantu siasatan kes seorang pengiring sukan dirogol tiga atlet bola baling semasa temasya Sukan Malaysia XVI di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan dan pihak polis sedang mengumpulkan bukti untuk melengkapkan siasatan.

“Setakat ini kita telah menahan seramai tiga lelaki dan jika ada yang perlu ditahan lagi, polis akan lakukannya," katanya ketika mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin melawat Hospital Sungai Buloh sempena peringatan Hari Polis Ke-206 di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan polis telah merakam keterangan lima saksi bagi membantu siasatan kes rogol seorang pengiring pasukan bola baling.

Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang turut menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 19 tahun kira-kira pukul 2 petang, sejurus selepas gadis berusia 19 tahun itu membuat laporan polis.

Dalam kejadian itu, mangsa yang ditugaskan mengiringi atlet dirogol beberapa atlet yang bertanding dipercayai semasa kesemua mereka dalam keadaan mabuk.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menggantung pemain, jurulatih dan pegawai pasukan bola baling Wilayah Persekutuan kerana melanggar disiplin Sukan Malaysia dengan membawa masuk minuman keras.

Dalam pada itu, lawatan Mohd. Bakri itu turut disertai Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim, serta pengarah-pengarah PDRM iaitu Pengarah Pengurusan, Datuk Mortadza Nazarene, Pengarah Logistik, Datuk Zulkifli Abdullah dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Yang turut hadir ialah ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP) yang diketuai Naib Pengerusinya, Datin Seri Rohaya Mohd. Yassin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment