My Add

Sunday 21 July 2013

Isteri berhenti kerja jaga suami terlantar

 * ABDUL Aziz Yusoff (kiri) melawat Hanapi Mat Ali yang ditemani oleh Najfariha Najib di rumahnya di Sungai Terah, Kampung Tiong, Gua Musang, baru-baru ini. UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
GUA MUSANG, SABTU, 20 Julai, 2013: Seorang isteri sanggup berhenti kerja demi menjaga suaminya yang terlantar akibat kemalangan jalan raya pada September tahun lalu.

Najfariha Najib, 47, memberitahu suaminya, Hanapi Mat Ali, 54, memerlukan penjagaan sepenuh masa selepas kecederaan di bahagian kepala dan tulang rusuk yang dialami dalam kemalangan itu tidak dapat dipulihkan.

Menurutnya, dahulu suaminya bekerja sebagai Pembantu Am Rendah di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan dia pula bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Gua Musang (HGM) untuk menampung kos hidup.

Namun, katanya, kehidupan mereka kini begitu sukar apabila dia tidak lagi bekerja, sementara lima daripada sembilan anaknya pula masih bersekolah.

Nasib yang menimpa Hanapi mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Abdul Aziz Yusoff yang mengunjunginya sempena program Ziarah Ramadan.

Dalam lawatan itu, Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan kepada Najfariha bagi meringankan beban kehidupan mereka sekeluarga.

Individu yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun Bank Islam, Najfariha Najib, 03-063-02-023791-4 atau boleh menghubunginya di talian 011-4974216.

Lima lagi anaknya yang masih bersekolah ialah, Mohd. Khairudin, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Khaidil Azwan, 15, Mohd Khalid, 13, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP 1) manakala dua lagi, Siti Sharlina, 11, dan Siti Nor Farhana, 7, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Fakhry Petra 1, dekat sini.

Sementara empat lagi anaknya Mohd. Khairi, 27; Mohd. Khairul Syawal, 25; Mohd. Kamarul Idlan, 23; dan Mohd Khuzaimi, 20, pula masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Dia (Hanapi) terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun lepas, sampai sekarang keadaannya lagu (macam) itu. Pergi hospital pun, pihak hospital tidak dapat buat apa, jadi terpaksalah bawa balik ke rumah buat rawatan sendiri di rumah.

"Tak tahulah nak kata apa, saya berserah, sebab bukan kerja kita, kerja Dia (Allah)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Terah, Kampung Tiong di sini kelmarin.

Najfariha mengakui, bantuan bulanan sebanyak RM400 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi untuk menampung kos membeli ubat dan keperluan lain.

"Kalau nak ikutkan sumbangan itu tak cukup sebab nak beli lampin pakai buang, ubat dan susu beharga RM77 satu tin. Susu itu saya kena beli sebanyak tujuh tin setiap bulan," katanya yang tetap bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Abdul Aziz dan JKM. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment