My Add

Sunday 21 July 2013

K. Besut dapat projek RM250 juta

Oleh RADHUAN HUSSAIN

 *MUHYIDDIN bersama calon BN bagi PRK DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman mengibarkan bendera Barisan Nasional kepada nelayan dalam Program Himpunan Warga Nelayan dan Peladang Kuala Besut di Dataran Kuala Besut, semalam.
BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013:  Kuala Besut bakal berubah wajah apabila projek mendalamkan muara sungai serta pembinaan benteng pemecah ombak menelan belanja RM250 juta bakal dilaksanakan di kawasan itu.

Setelah 30 tahun menanti, akhirnya seluruh penduduk Kuala Besut bakal menikmati pembangunan hasil keputusan kerajaan untuk melaksanakan projek itu.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis Himpunan Warga Nelayan dan Peladang Kuala Besut di Dataran Besut, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, projek berkenaan yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberikan kesejahteraan kepada penduduk Kuala Besut.

"Saya dapat merasai denyut nadi penduduk Kuala Besut apa yang mereka perlukan. Saya dengar pelbagai pihak termasuk (Tok Yeh) Datuk Seri Idris Jusoh dan pemimpin masyarakat lain tentang kepentingan projek ini yang ditunggu sekian lama.

"Saya telah kemukakan permohonan agar muara sungai Kuala Besut ini didalamkan dan dibina benteng pemecah ombak di situ. Akhirnya kerajaan telah luluskan peruntukan RM250 juta untuk laksanakan projek ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek tersebut akan dimulakan dengan peruntukan RM500,000 sebelum penghujung tahun ini.

Menurutnya, projek itu dijangka mengambil masa antara dua hingga dua setengah tahun untuk disiapkan.

Katanya, projek berkenaan akan memberikan impak positif dalam pembangunan ekonomi dan sosial, selain menjana pendapatan penduduk setempat.

Terdahulu, Idris pula dalam ucapannya berkata, dengan siapnya projek pemecah ombak itu, akan menjadikan Kuala Besut pusat pelancongan global.

Menurutnya, penantian selama 30 tahun akhirnya menjadi kenyataan dengan keputusan kerajaan melaksanakan projek berkenaan demi kepentingan penduduk Kuala Besut.

"Dengan siapnya projek ini, Kuala Besut bakal menjadi tumpuan sebagai pusat pelancongan terkenal dan diletakkan di dalam peta dunia," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment