My Add

Monday 29 July 2013

Kanak-kanak diperalat mengemis di Pasar Wakaf Che Yeh

KOTA BHARU, AHAD,, 28 Julai, 2013: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengesan sebuah sindiket yang memperalat kanak-kanak untuk mengemis di sekitar Pasar Borong Wakaf Che Yeh, destinasi tumpuan orang ramai membeli-belah di sini.

Pengarahnya, Md Noor Chik berkata, berdasarkan maklumat awam, aktiviti itu dikatakan berlarutan sejak beberapa bulan lepas.

"Dalam serbuan malam tadi, kita menahan seorang kanak-kanak dan tiga pengemis dewasa, termasuk seorang warga asing, di sekitar kawasan itu.

"Kanak-kanak terbabit bergerak secara solo, namun kita percaya masih terdapat kumpulan mereka yang berpecah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops bersepadu Ramadan JKM dan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu masih ditahan untuk siasatan, dua pengemis dewasa warga tempatan dihantar ke Rumah Sri Kenangan, Pengkalan Chepa untuk penempatan sementara manakala pengemis warga asing diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Md. Noor berkata, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mengemis di negeri ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment