My Add

Friday 5 July 2013

Kanak-kanak kepala besar perlu bantuan


 * ERMI Yusnita Kamaluddin menyuapkan makanan ke mulut anaknya, Dannis Ikhwan Adif Affendy di rumah mereka di Ipoh, semalam.
IPOH, KHAMIS, 04 Julai, 2013" Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan mengenai nasib kanak-kanak, Deniss Eqwan Adif Affendy, 5, yang menderita penyakit hidrosefalus atau kepala besar sejak lahir.

Penderitaan anak kelima daripada enam adik-beradik itu bukan sahaja menyebabkan tumbesarannya terbantut, malah perutnya turut membuncit selain kulit di beberapa bahagian badan terutama di lutut menjadi kering.

Ibunya, Erni Yusnita Kamaluddin, 42, berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit tersebut sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan ketika berusia dua minggu bagi membuang cecair di dalam kepala.

Katanya, Deniss Eqwan Adif juga perlu mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan di hospital, namun pemeriksaan itu tidak dapat dilakukan akibat kemiskinan yang menghimpit mereka sekeluarga.

"Deniss Eqwan Adif hanya minum susu setiap empat jam. Itu pun terpaksa dicatu.

"Dia juga perlukan losen dan sabun khas untuk kulit bagi mengelak kulitnya menjadi kering tetapi kami tidak mampu sediakan semua itu kerana belanja makan pun tidak cukup," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Taman Harmoni, Buntong, dekat sini hari ini selepas menerima kunjungan Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak (PMPP) hari ini.

Yang turut hadir Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah dan Bendahari PMPP, Summy Choo.

Menurut Erni Yusnita, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk anaknya itu tetapi sumbangan tersebut tidak mencukupi.

Katanya, dia terpaksa memperuntukkan sebanyak RM250 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang untuk anaknya manakala ubat dan vitamin terpaksa diabaikan ekoran masalah kewangan.

Katanya, pendapatannya sebagai pembantu rumah dengan gaji sebanyak RM20 sehari manakala suami, Affendy Abd. Hamid, 32, bekerja di bengkel kimpalan dengan gaji RM700 sebulan.

"Dengan pendapatan sebanyak itu, kami tidak mampu menyediakan segala barang yang diperlukan Deniss Eqwan Adif. Malah, abang dan kakaknya juga sebelum ini terpaksa berhenti sekolah sebelum menyambung semula persekolahan sejak dua bulan lalu hasil bantuan majikan saya," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Dennis Eqwan Adif boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Erni Yusnita nombor 0810341000047784. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment