My Add

Thursday 11 July 2013

Kelantan tidak keluarkan lesen shisha

KOTA BHARU, RABU, 10 Julai, 2013: Kerajaan Pas Kelantan tidak akan mengeluarkan lesen kepada mana-mana premis perniagaan untuk menjual shisha di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan itu merupakan kesinambungan dengan yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini iaitu tidak membenarkan sebarang aktiviti penjualan shisha di Kelantan.

"Kita membuat keputusan tidak akan mengeluarkan lesen kepada premis untuk menjual shisha ini. Kalau ada orang berniaga juga tindakan akan diambil ataupun barangan akan dirampas.

"Tindakan akan diambil di bawah kelulusan lesen oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pada 28 Jun lalu, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu kerana mendatangkan kemudaratan lebih teruk berbanding merokok.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pengharaman sebarang aktiviti shisha di negeri ini, Abdul Fattah menjelaskan, pada masa ini kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang keputusan.

"Kita menunggu kata putus Mufti Kelantan dan pihak mufti membuat kenyataan secara bertulis serta Kementerian Kesihatan tentang salah laku dalam perniagaan shisha," katanya.

"Saya tidak boleh kata haram, namun Mufti Perlis mengatakan haram, jawatankuasa fatwa negeri lain masih belum membuat keputusan. Jadi kita tunggu sehingga keputusan rasmi Kementerian Kesihatan dikeluarkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment