My Add

Wednesday 10 July 2013

Kemenangan BN di Kuala Besut sangat signifikan - TPM

KUALA BESUT, SELASA, 09 Julai, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kemenangan pada pilihan raya kecil ini cukup signifikan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan BN di Terengganu.

Beliau yang juga Pengarah PRK Kuala Besut berkata, oleh itu pengundi di Kuala Besut yang bakal menjadi penentu kepada nasib BN di Terengganu perlu memastikan agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dinikmati rakyat di negeri ini.

"Kemenangan di Kuala Besut jadi penentu untuk memastikan Terengganu kekal dapat bergerak seiring dengan kerajaan di peringkat pusat dan sebab itu kedudukan BN perlu dikukuhkan lagi dan kemenangan ini cukup signifikan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata, selain untuk mencatat kemenangan, jentera pilihan raya BN perlu memastikan jumlah majoriti meningkat berbanding majoriti 2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.

Menurutnya, kempen pada bulan Ramadan tidak akan menjadi penghalang jentera BN untuk mendekati rakyat selain menggunakan peluang tersebut untuk berkhidmat mengikut tuntutan agama Islam.

"Kita ambil ini sebagai cabaran sebab jatuh pada bulan puasa dan kita akur kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh PRK," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment