My Add

Thursday 25 July 2013

Kementerian rancang bina tiga insinerator

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang membina tiga insinerator berkapasiti lebih besar di Kuala Lumpur; Sungai Udang, Melaka; dan Bukit Payong, Johor.

Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohd Sadique, berkata kementerian sehingga kini telah membina empat insinerator bersaiz mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highlands.

Menjawab soalan Senator Chiew Lian Keng pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini, beliau berkata insinerator adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah mengurangkan jumlah sisa pepejal di tapak pelupusan.

Ini kerana berdasarkan kajian, terbukti ia dapat mengurangkan 85 hingga 90 peratus kuantiti sisa pepejal.

"Hasil pembakaran melalui insinerator, menjana dalam lingkungan 10 hingga 15 peratus abu daripada kuantiti asal sisa pepejal yang dibakar.

"Kaedah ini dapat memanjangkan tempoh jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal kerana tapak pelupusan hanya melupuskan abu sisa sahaja," katanya.

Halimah berkata jumlah sisa pepejal yang dijana mencecah 25,000 tan sehari di semenanjung tahun lepas berbanding 17,000 tan pada 2005.

"Peningkatan penjanaan sisa pepejal pada kadar sekarang akan menyebabkan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal menjadi pendek daripada yang dirancang," katanya ketika menjelaskan keperluan membina insinerator. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment