My Add

Friday 26 July 2013

Kerajaan bersikap terbuka komen negatif tentang TPPA - Mustapa

PUTRAJAYA, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Kerajaan bersikap terbuka terhadap maklum balas dan komen-komen negatif tentang rundingan Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) yang sedang berlangsung sekarang dan dijangka selesai menjelang akhir tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata meskipun terdapat lebih banyak komen negatif daripada positif mengenai perjanjian itu, namun kerajaan bersedia untuk mendengar.

"Kita faham kebimbangan yang disuarakan oleh orang ramai mengenai isu-isu tertentu yang kita rundingkan, tetapi saya mahu menegaskan sekali lagi bahawa usaha masih sedang dijalankan dan belum ada yang muktamad.

"Justeru itu, semua maklum balas yang diberikan amat berguna bagi kita untuk berdepan dengan perunding lain," katanya pada satu taklimat media selepas pelancaran tertutup Persidangan Usahawan Malaysia-China di sini hari ini.

Mustapa berkata kementeriannya akan mengadakan hari terbuka mengenai TPPA pada 1 Ogos di Matrade, Jalan Duta.

“Bahagian pertama ialah taklimat mengenai apa yang berlaku di Kota Kinabalu pada pusingan ke-18 rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA)," katanya.

Bahagian kedua menampilkan forum dengan komen dan pandangan daripada ahli-ahli panel dan soalan daripada hadirin, manakala bahagian terakhir ialah bengkel bagi enam hingga tujuh kumpulan yang lebih kecil mengenai bidang-bidang seperti ubat, isu Bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana, hak harta intelek dan persekitaran buruh.

Mustapa berkata ketiga-tiga komponen ini akan menjadi platform bagi kerajaan untuk menerima pendapat daripada sektor swasta dan peserta industri.

Ditanya tentang prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang disemak turun baru-baru ini oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus bagi tahun ini daripada 5.6 peratus yang dianggarkan sebelumnya, Mustapa berkata:

"Kerajaan juga mempunyai ramalan rasminya sendiri, kerana pakar-pakar ekonomi dalam agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi, Perbendaharaan dan Bank Negara memantau ekonomi dan melaksanakan dasar ekonomi.

"Yang lainnya seperti pertubuhan bukan kerajaan, firma-firma penyelidikan dan universiti boleh mempunyai sasaran masing-masing, tetapi kerajaan tetap yakin kita boleh mencapai sasaran pertumbuhan lima peratus bagi tahun ini."

Edisi ketiga persidangan anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China dan TNT Express Malaysia itu akan diadakan pada 1 Disember di Kuala Lumpur.

Persidangan bertema "Tenaga Positif Wujudkan Peluang Lebih Baik" itu dijangka menarik seramai 1,000 peserta dari Malaysia, China serta negara-negara Asia Selatan dan Asean. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment