My Add

Thursday 25 July 2013

Kerajaan Perak beri bonus khas RM500 kepada penjawat awam negeri

IPOH, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus khas RM500 kepada 14,000 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia mengikut langkah kerajaan persekutuan memberikan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam.

"Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak, sambilan termasuk pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuih raya kepada pasukan keselamatan, sumbangan kerajaan negeri dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zambry berkata pemberian bonus khas itu tidak melibatkan pesara kerajaan kerana mereka mempunyai pencen dan mendapat Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 daripada kerajaan pusat.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tindakan Umno negeri terhadap anggota yang mensabotaj parti, beliau berkata dalam konteks Umno ia akan dibuktikan terlebih dahulu sebelum tindakan dibuat.

"Ini untuk memastikan supaya tidak berlaku mangsa penganiayaan kepada sebarang keputusan yang kita buat.
"Kita kena pastikan setiap yang terlibat dengan perkara itu (sabotaj) perlulah disahihkan terlebih dahulu sebelum didapati bersalah," katanya.

Beliau berkata anggota Umno yang mensabotaj parti seperti kecewa dengan parti atau calon yang bertanding pada pilihan raya umum yang lalu akan dikenakan tindakan.

"Tindakan tidak boleh dilakukan hanya dengan mendengar sebarang khabar angin sahaja," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment