My Add

Sunday 28 July 2013

Malaysia harap konflik di Mesir selesai cara damai

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Kerajaan Malaysia berharap konflik di Mesir dapat diselesaikan secara damai dan menggesa semua pihak agar tidak memilih jalan keganasan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Malaysia turut melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi semasa di Mesir yang telah mengorbankan banyak nyawa serta mencederakan ribuan yang lain.

"Malaysia berpandangan bahawa pihak berkuasa di Mesir perlu mengadakan dialog secara serius yang melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyatuan dan merangka satu solusi yang berkesan dan berpanjangan bagi menyelesaikan konflik," kata kenyataan itu.

Situasi politik di Mesir tegang ekoran penggulingan Presiden Mohammed Morsi pada 3 Julai lalu oleh pihak tentera negara itu.

Demonstrasi yang berlarutan oleh penyokong dan penentang Morsi sejak tarikh itu mencapai kemuncaknya semalam apabila kira-kira 120 penyokong Morsi terkorban dan lebih 4,500 yang lain cedera dalam kejadian tembakan terhadap penunjuk perasaan pro-Morsi, menurut laporan media antarabangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan sehingga kini semua rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

Bagaimanapun, mereka diminta untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan.
"Rakyat Malaysia juga telah diingatkan agar tidak mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang demonstrasi.

"Wisma Putra akan terus memantau situasi di Mesir secara dekat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terus terjamin," kata kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment