My Add

Saturday 20 July 2013

Masyarakat diminta salurkan maklumat mengenai Syiah

JERLUN, SABTU, 20 Julai, 2013: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menggesa masyarakat Islam negeri ini memainkan peranan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan Syiah di kawasan mereka dalam usaha mengekang penularan ajaran itu.

Katanya, maklumat termasuk berkaitan aktiviti pengikut ajaran itu boleh disalurkan kepada pemimpin setempat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mahupun beliau sendiri.

"Saya sendiri sedia menerima sebarang maklumat berhubung Syiah ini. Jika ada anggota masyarakat yang mendapat maklumat atau menyaksikan aktiviti Syiah ini laporkan segera.

"Kerajaan negeri memandang serius ajaran Syiah ini dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan akidah umat Islam di negeri ini,'' katanya di majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Kubang Sepat Ayer Hitam di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, beliau menerima laporan tentang pengikut ajaran tersebut yang kini bertapak di Jitra yang bersempadan dengan kawasan itu.

"Sebagai wakil rakyat kawasan ini saya juga bimbang ajaran Syiah ini akan menular ke kawasan ini. Kita akan berusaha mengekangnya dan memerlukan bantuan anggota masyarakat juga,'' katanya.

Kelmarin Mukhriz membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan sekatan penyebaran syiah mengikut jejak langkah beberapa negeri lain dalam usaha membendung penularan ajarannya dalam kalangan penduduk negeri itu.

Katanya, tindakan itu dianggap tepat dalam usaha membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment