My Add

Tuesday 9 July 2013

Mati ditetak di pusat hiburan

Oleh NURUL HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU, ISNIN, 08 Julai, 2013: Seorang penganggur mati ditetak di leher dan kepala oleh dua lelaki di sebuah pusat hiburan di Taman Perling di sini semalam.

Mangsa, M. K. Mariemuthu, 29, berasal dari Perak sebelum itu minum bersama rakannya di premis tersebut di Jalan Layang 16 sebelum diserang dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza berwarna hitam pada pukul 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mengenali Mariemuthu kerana sebelum ini mangsa pernah memukul suspek dipercayai membabitkan kes dadah.

“Kedua-dua suspek bertindak melarikan diri selepas menetak mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor turut menjumpai dua utas jam tangan, sebilah parang, paip getah, satu penutup kepala dan tompokan darah di tempat kejadian.

Menurutnya, semua barang yang ditemui tersebut dihantar ke makmal untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ruslan memberitahu, polis tidak menjumpai kad pengenalan mangsa dan hanya menemui pasport dan hasil semakan mendapati Mariemuthu membuat laporan kehilangan kad pengenalan di Balai Polis Tampoi Ahad lalu.

“Susulan kejadian itu, polis menahan 14 lelaki dan empat pondan yang berada di dalam pusat hiburan itu untuk diambil keterangan selain menjalankan ujian saringan awal air kencing.

“Polis turut menahan lima lelaki lain yang dipercayai dapat membantu siasatan. Polis sudah mengenal pasti kedua-dua suspek yang terlibat dan sedang giat memburu mereka," katanya sambil memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment