My Add

Tuesday 9 July 2013

Mayat wanita kesan kelar di dusun durian

BALIK PULAU, ISNIN, 08 Julai, 2013: Mayat seorang wanita dengan kesan kelar di leher ditemui dalam dusun durian berhampiran Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Bukit Genting di sini hari ini.

Mayat wanita berumur dalam lingkungan 20-an itu ditemui tersangkut pada pagar sempadan kem itu oleh seorang pengutip durian pada pukul 8.30 pagi. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui di kawasan itu.

"Selain kesan kelar sepanjang 10 sentimeter di leher wanita itu, terdapat juga kesan luka di belakang kepala dan badan mangsa," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya wanita berkulit cerah dengan ketinggian 163 sentimeter itu dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan dusun itu.

"Polis percaya suspek mencampakkan mangsa ke bawah cerun bukit sebelum badannya tersangkut pada bahagian pagar sempadan kem PLKN berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, wanita yang berkulit cerah dan tidak mempunyai tanda suntikan vaksin BCG pada lengannya itu memakai baju berwarna kelabu dan seluar dalam hitam.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment