My Add

Friday 5 July 2013

MIC sambut baik tarik balik Rang Undang-Undang Islam

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik rang undang-undang berhubung persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa memadai untuk menukar agama anak di bawah umur kepada Islam.

Dalam kenyataan kepada Bernama di sini, beliau berkata Kabinet telah membincangkan secara mendalam dan memutuskan bahawa Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 perlu ditarik balik.

Beliau berkata langkah itu adalah adil selepas mengambil sensitiviti semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan itu dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Sementara itu, timbalan presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan tersebut memberi masa dan peluang kepada kerajaan serta semua pihak untuk mengkaji semula rang undang-Undang tersebut.

"Di Kabinet kita semua cadangkan agar tarik balik pembentangan Rang Undang-Undang tersebut..Selepas itu bolehlah buat apa-apa pindaan dan dibentangkan semula tanpa sebarang masalah.

"Kita harap ini sekali gus dapat elak isu-isu sensitif berkaitan agama", katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ijazah kepada 35 graduan Fakulti Optometri, Institut Nasional Sains Oftalmik di sini.

Di LABUAN, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ewon Ebin pula berkata pertikaian berhubung rang undang-undang itu perlu diperhalusi.

"Saya berpendapat agama seseorang kanak-kanak di bawah umur tidak boleh ditentukan oleh satu pihak sahaja. Sebagai seorang Kristian dan peguam, saya tidak selesa dan sama sekali tidak setuju dengan perkara ini.

"Saya telah menyampaikan pendirian saya dalam mesyuarat Kabinet agar pendangan dari semua pihak mesti diperhalusi dan meminta rang undang-undang tersebut tidak diteruskan," katanya kepada Bernama.

Ewon, yang juga Anggota Parlimen Ranau, berkata peruntukan Seksyen 107(b) dalam rang undang-undang itu adalah bertentangan dengan keputusan Kabinet pada 23 April 2009 iaitu agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa atau penjaga. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment