My Add

Tuesday 9 July 2013

MoU SPRM-KBS pantau perbelanjaan - KJ

PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat, agar suruhanjaya itu memantau setiap perbelanjaan kewangan KBS.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, akan mengetuai pasukan pemantauan itu yang bertujuan memastikan semua perbelanjaan KBS dibuat dengan telus.

"KBS perlu berhati-hati menguruskan kewangannya, sebagai contoh projek pembangunan seperti pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), pembekalan peralatan IKBN dan lain-lain, membabitkan kewangan yang besar nilainya, mencecah jutaan ringgit setahun maka MoU dengan SPRM ini dapat memastikan tiada ketirisan dan pembaziran wang," katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 351 warga KBS dan agensi di bawahnya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Jamil Salleh.

Beliau berkata, Jamil akan turut bertanggungjawab memastikan segala perbelanjaan KBS membabitkan pelbagai majlis makan dan acara sukan dikurangkan pada masa depan berbanding perbelanjaan tahun-tahun sebelum ini.

Ditanya mengenai kes rogol seorang pegawai sukan oleh sekumpulan atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Rabu lepas, Khairy berkata, bukan sahaja atlet terbabit akan dikenakan hukuman gantung malah lebih 14 orang yang terlibat akan dikenakan hukuman sama.

"Saya difahamkan ia melibatkan lebih 14 orang membabitkan jurulatih, pegawai dan atlet yang melakukan kesalahan kerana minum minuman keras dalam perkampungan sukan di UPM sebelum kejadian rogol itu berlaku dan mereka ini harus dikenakan hukuman gantung," katanya.

Beliau kecewa atas kejadian itu dan mahu Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Persekutuan Bola Baling Malaysia bersama-sama menjalankan siasatan dan melasanakan tindakan menggantung mereka yang terlibat serta memutuskan sama ada mereka boleh menyertai acara sukan pada masa depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment