My Add

Saturday 27 July 2013

Pekerja binaan maut dihempap dinding konkrit

 * KEADAAN mayat mangsa, Zaki Ibrahim, 27 yang mati dihempap dinding ketika melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah dewan di Pusat Giat MARA Arau, Jejawi hari ini. - UTUSAN
ARAU, SABTU, 27 Julai, 2013: Seorang pekerja binaan yang baru beberapa bulan melangsungkan perkahwinannya maut dalam keadaan tragis selepas dihempap dinding konkrit yang runtuh ketika mangsa mengubah suai Dewan Besar Pusat Giat Mara Arau di Jejawi, dekat sini hari ini.

Kejadian pukul 1.15 petang itu berlaku ketika Zaki Ibrahim, 27, berasal dari Jalan Stadium, Alor Setar, sedang bekerja bersama seorang rakannya sebelum dinding konkrit dewan itu tiba-tiba runtuh.

Bagaimanapun rakannya itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kangar, Mohd. Subri Ahmad berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kita mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.29 petang dan sebanyak lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dikejarkan ke tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dekat sini untuk dibedah siasat.

Isteri mangsa, Nasirah Ahmad, 23, yang turut hadir di lokasi kejadian beberapa kali hampir pengsan kerana terkejut dengan berita menimpa suaminya itu.

"Suami langsung tidak menunjukkan sebarang tanda pelik. Saya tidak sangka dia keluar rumah pagi tadi dan tidak akan pulang lagi," ujarnya sebak. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment