My Add

Wednesday 10 July 2013

Pelan tindakan ke WSC 2015 diperkasa

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
 
 * RICHARD Riot dan Ismail Abdul Muttalib (belakang, tengah) bersama kontinjen negara yang pulang dari menyertai Pertandingan Kemahiran Sedunia 2013 di Leipzig, Jerman sejurus tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
SEPANG, SELASA, 09 Julai, 2013: Program pelan tindakan ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2015 di Sao Paulo, Brazil akan terus diperkasa bagi membolehkan kontinjen negara meraih sekurang-kurangnya satu pingat gangsa dalam kejohanan itu nanti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem berkata, pemerkasaan program itu dapat dilakukan melalui usaha pihak kementerian meningkatkan kualiti tenaga pengajar dengan mendalami ilmu kemahiran sedia ada.

Beliau berkata, pendekatan itu boleh dilaksanakan terhadap 28 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara untuk mencapai kecemerlangan yang disasarkan.

"Selain itu, kita perlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pelbagai agensi dan kementerian malah pihak swasta juga untuk menjayakan iltizam tersebut.

"Kita akur bahawa Malaysia perlu mempelbagaikan dan memperhebatkan strategi serta persiapan jika ingin lebih berjaya di WSC 2015 yang akan diadakan di Sao Paulo, Brazil," katanya selepas menyambut kepulangan kontinjen negara yang baru pulang dari Leipzig, Jerman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kontinjen negara berjaya merangkul sembilan pingat kecemerlangan daripada 14 bidang kemahiran dalam pertandingan yang bermula dari 2 hingga 6 Julai lalu itu.

Antaranya melibatkan bidang masakan, perkhidmatan restoran, teknologi fesyen, penyejuk beku dan penyamanan udara, pemanasan dan pemasangan paip, sistem rangkaian serta dandanan rambut.

Seramai 1,024 belia berumur 22 tahun ke bawah daripada 54 negara menyertai pertandingan yang dianjurkan sejak 1946 itu.

Richard berkata, kontinjen negara yang terdiri daripada 90 peserta diketuai Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berjaya menambah sembilan pungutan pingat kecemerlangan berbanding lima dalam 10 bidang kemahiran yang disertai pada 2011.

"Kita juga amat bangga kerana peserta negara dalam bidang masakan iaitu Chen Kim Leun merupakan peserta terbaik keseluruhan bagi kontinjen Malaysia di WSC dengan pencapaian markah sebanyak 521," katanya.

Sementara itu, Kim Leun menyifatkan pertandingan dalam bidang masakan tersebut sebagai sengit terutama daripada peserta dari Eropah yang sering memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan itu berlangsung.

"Saya agak gementar pada mulanya kerana suasana pertandingan di sana begitu berbeza dengan kita di sini," kata pelajar Universiti Taylor berusia 22 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan itu.

Bagi pemenang pingat kecemerlangan dalam bidang teknologi fesyen, Ruqaiyah Azahari, 19, berkata, penyertaan dalam pertandingan itu dapat memberikan dia pengalaman baru yang penuh bermakna.

"Saya diberikan tempoh masa yang terhad untuk menyiapkan tugasan diberikan ketika hari pertandingan di hadapan pengunjung untuk menghasilkan jaket, seluar dan baju.

"Secara tidak langsung, tugasan tersebut memerlukan saya menghasilkan apa yang diarahkan dengan cepat dan menggunakan bahan yang diberikan secara kreatif," kata pelajar Giat Mara Kuala Pilah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment