My Add

Sunday 7 July 2013

Pembangunan belia perlu berubah seiring peredaran masa

 MELAKA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata program pembangunan belia di negara ini perlu berubah seiring peredaran masa dengan kemunculan generasi baru yang mempunyai pandangan berbeza daripada pelbagai aspek termasuk politik.

Justeru, beliau berkata pelbagai pihak termasuk kerajaan dan badan bukan kerajaan terutamanya melibatkan golongan belia perlu memastikan pembangunan itu bersesuaian dengan cita rasa generasi berkenaan.

"Kerajaan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran dibawa kemunculan generasi baru yang mempunyai cita rasa berbeza daripada terdahulu.

"Golongan ini dikhuatiri akan membawa satu peralihan generasi dan arena politik negara sekiranya kerajaan tidak memberi perhatian sewajarnya kepada mereka," katanya pada majlis perasmian Festival Belia dan Karnival Kecergasan Peringkat Negeri Melaka di sini, malam tadi.

Festival tiga hari bertemakan 'Belia Aspirasi Negara' bermula Jummat lepas itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron. Majlis itu juga menyaksikan Khairy menerima anugerah Bintang Khidmat Cemerlang Majlis Gabungan Belia Melaka 2013.

Anugerah Johan Belia kategori lelaki dan wanita masing-masing dimenangi Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Melaka, E Mathiyalagan dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Johan Belia kategori pertubuhan belia pula dimenangi Persatuan Belia Simpang Bekoh.
Khairy berkata kementeriannya akan terus memberi tumpuan yang seimbang terhadap sukan dan belia bagi memastikan keseimbangan terhadap dua bidang itu dapat dicapai.

"Aspek sukan dilihat lebih menonjol daripada belia terutama di dada akhbar dan medium media yang lain.

"Kita akan cuba angkat profil belia, pembangunan belia supaya setara dan setanding dengan pembangunan sukan supaya tumpuan kita bukan hanya kepada sukan sahaja tetapi kepada aspek penting iaitu belia," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga selaras dengan usaha kerajaan melahirkan golongan belia yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik atau sukan malah mampu menjadi belia contoh dalam pelbagai aspek.

"Belia di negara ini perlu memahami aspirasi kerajaan bagi melahirkan golongan belia yang serba boleh. Golongan belia tidak seharusnya berada di takuk lama atau hanya selesa dalam satu bidang sahaja, mereka perlu terokai pelbagai bidang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment