My Add

Saturday 6 July 2013

Pemilik saham Islam wajib bayar zakat

 Oleh Norrasyidah Arshad 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Syarikat wajib membayar zakat bagi pemilik sahamnya yang beragama Islam, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bagaimanapun, sekiranya syarikat gagal berbuat demikian, pemilik termasuk pemegang saham beragama Islam harus membayarnya secara persendirian.

 Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, berkata mengikut feqah, ada dua jenis pemilik harta iaitu Shakhsiyyah Tobi'iyah (pemilikan individu) dan Shakhsiyyah I’tibariyyah (pemilikan perkongsian atau syarikat).

Katanya, dalam hukum zakat, pemilikan perkongsian atau syarikat dianggap seperti harta pemilikan seorang individu.

“Perkara berkenaan terkandung dalam bab harta khultah (perkongsian) yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

“Oleh itu, zakat diwajibkan ke atas syarikat berikutan harta pemilikannya berkongsi dan dianggap sebagai satu pemilik. Seandainya pemilik saham beragama Islam, maka zakat diwajibkan ke atas syarikat berkenaan mengikut peratus pegangan pemilik Islam,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Mohamed Izam berkata, perkara berkenaan turut disahkan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Isu bayaran zakat oleh syarikat timbul selepas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berkata Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan zakat dikutip daripada orang Islam, bukan kepada syarikat.

Abdul Hamid dilaporkan berkata, undang-undang tidak boleh menjadikan sesebuah syarikat sebagai orang Islam atau bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan bertajuk “Kewajipan Syarikat Membayar Zakat: Isu yang timbul daripada kesan entiti undang-undang berasingan’ pada Persidangan Undang-Undang dan Korporat Malaysia 2013 di sini, kelmarin.

Sebagai contoh, Mohamed Izam berkata, sekiranya dalam sebuah syarikat perkongsian, saham dimiliki orang Islam adalah 30 peratus, maka syarikat itu wajib membayar kadar bagi peratus itu saja. - BH

No comments:

Post a Comment