My Add

Sunday, 21 July 2013

Pemimpin layak perlu diberi peluang bertanding

 
ALOR SETAR, SABTU, 20 Julai, 2013: Pemuda UMNO Kedah berpendapat pemimpin yang layak mengisi jawatan utama perlu diberi peluang bertanding pada pemilihan Pemuda UMNO Pusat pada perhimpunan agung parti, Oktober ini.

Naib Ketua Pemudanya, Haris Che Mat (gambar) berkata, ini kerana langkah berkenaan adalah amalan demokrasi dalam pemilihan sayap itu yang akan memberi keadilan kepada semua ahli khususnya bertujuan untuk mengetengahkan potensi golongan muda.

"Kalau ada pemimpin yang berkelayakan maka tiada salahnya untuk bertanding menawarkan diri kerana ini adalah amalan sihat sejak sekian lama.

"Dari segi keterbukaan, pemilihan ini terletak kepada semua pemimpin yang berasa layak dan ingin menawarkan diri maka tidak menjadi tegahan dalam perlembagaan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Haris berkata, beliau yakin semua ahli cukup matang untuk melalui amalan demokrasi pemilihan pergerakan pemuda tersebut dan bijak mengelak sebarang masalah atau unsur perpecahan.

"Kita berharap pemilihan itu dapat dijalankan dengan penuh semangat UMNO kerana perjuangan UMNO adalah kita juruskan kepada perjuangan bangsa.

"Sesiapa yang dipilih kelak perlu lebih produktif dalam agenda perjuangan itu khususnya untuk golongan orang muda serta mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena.

Menurutnya, sayap Pemuda UMNO di 15 bahagian UMNO Kedah akan mengadakan persidangan dan melalui perwakilan masing-masing akan membuat sebaik-baik keputusan berhubung perkara itu.

"Bagi saya, pemimpin muda yang layak perlu diberi pengiktirafan untuk menjadi hulubalang utama parti kerana jumlah pengundi muda yang tinggi bilangannya untuk memilih kerajaan pada PRU-14," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment