My Add

Thursday 18 July 2013

Penambahbaikan prasarana Kuala Besut

BESUT, RABU, 17 Julai, 2013: Sempena lawatan ke Kuala Besut dekat sini hari ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal memutuskan, beberapa penambahbaikan prasarana di sekitar kawasan itu akan dilakukan untuk keperluan masyarakat.

Mohd. Shafie berkata, langkah itu dilakukan memandangkan kawasan berkenaan secara keseluruhannya telah dilengkapi pelbagai kemudahan asas untuk rakyat.

Beliau memberitahu, segala kemudahan yang terdapat di situ adalah hasil usaha yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta wakil rakyat terdahulu Allahyarham A. Rahman Mokhtar.

"Sebenarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ini sebahagian besarnya telah dilengkapkan dan dibina oleh kerajaan BN, bukan Pas, PKR (Parti Keadilan Rakyat) atau DAP.

"Pembangkang hanya cakap saja, mereka tak buat apa langsung. Yang kita (BN) buat macam-macam, sekurang-kurangnya kita membangun dan membantu rakyat di Kuala Besut ini," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika turun padang mengunjungi rumah ke rumah dalam program 'walkabout' di Kampung Beris Lampu di Kuala Besut, dekat sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan, antara projek pembangunan dan penambahbaikan yang akan dilaksanakan di kawasan itu adalah projek pemecah ombak di muara sungai Kuala Besut.

Menurutnya, projek itu yang akan dilaksanakan berperingkat-peringkat telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, menelan belanja RM250 juta.

"Antaranya, projek-projek kecil, menaik taraf jalan di kampung iaitu jalan besar ke masjid yang menelan belanja RM80,000.

"Di samping itu, pembinaan dataran di sekitar Balai Raya Kampung Nangka yang menelan belanja RM20,000 akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini serta pemberian bantuan kebajikan untuk 560 orang daif dan kurang upaya," katanya.

Mohd. Shafie turut mengunjungi beberapa buah rumah penduduk sekitar Kampung Nangka.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam majlis berbuka puasa bersama masyarakat di balai raya kampung berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment