My Add

Friday 12 July 2013

Pengeluaran getah asli naik 16 peratus pada Mei

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei meningkat 16.6 peratus kepada 50,016 daripada 42,881 tan yang dicatatkan pada April, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Bagaimanapun, pengeluaran Mei 2013 susut 28.4 peratus berbanding 69,873 tan yang dikeluarkan pada bulan sama tahun lepas. Sektor pekebun kecil menyumbang 92.8 peratus getah asli yang dikeluarkan pada Mei manakala ladang menguasai bakinya pada 7.2 peratus.

Stok pada akhir Mei 2013 pada 122,908 tan, turun 13.5 peratus, daripada 142,012 tan pada akhir April 2013.

Pengeluar getah asli tertinggi mengikut ladang ialah Kedah (26.8 peratus), diikuti Perak (17.7 peratus) dan Negeri Sembilan (17.2 peratus).

Jumlah eksport getah asli pada Mei 2013 berjumlah 63,429 tan, naik 3.8 peratus daripada 61,128 tan sebulan sebelumnya, kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini.

Komoditi berkenaan dieksport terutamanya ke China (38.9 peratus), disusuli Jerman (14.0 peratus), Iran (7.8 peratus), Amerika Syarikat (4.5 peratus), Brazil (2.9 peratus), Afrika Selatan (2.2 peratus), Portugal (2.1 peratus) dan Finland (4.2 peratus).

Sementara itu, import getah asli Malaysia naik 28.2 peratus kepada 71,264 tan pada Mei berbanding 55,602 tan yang diimport pada April.

Pembekal utama adalah Thailand (51.3 peratus) dan Vietnam (16.1 peratus), yang bersama-sama menyumbang 67.4 peratus jumlah import pada Mei.

Penggunaan domestik meningkat 4.1 peratus pada 36,791 tan pada Mei daripada 35,350 tan yang digunakan pada bulan sebelumnya.

Industri sarung tangan getah merupakan pengguna getah asli terbesar (71.3 peratus), diikuti benang getah (8.3 peratus) serta tayar dan tiub (6.9 peratus).

Ketiga-tiga industri ini menggunakan lebih separuh penggunaan domestik dalam negara dengan jumlah 31,783 tan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment